:
Home » » Bersih 2.0: Pilihan raya adil, bersih juga baik buat BN

Bersih 2.0: Pilihan raya adil, bersih juga baik buat BN

Isnin, 20 Jun 2011 | 0 comments




Sambutan daripada penyokong Himpunan Bersih 2.0 ketika majlis pelancaran kempen itu di Kuala Lumpur malam tadi. — Foto oleh Jack Ooi




KUALA LUMPUR, 20 Jun — Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan berkata sistem pilihan raya yang adil dan bersih baik kepada semua parti politik termasuk Barisan Nasional (BN).
Pada pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di sini malam tadi, Ambiga sekali lagi memberi jaminan perhimpunan itu akan diadakan secara aman.

Beliau juga berkata cadangan mengadakan Himpunan Bersih 2.0 ekoran mendapati pilihan raya negeri Sarawak pada April lalu dicemari dengan penyelewengan dan ketidakadilan.
“Hanya tinggal dua minggu sebelum Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini... Himpunan Bersih 2.0 ini akan ditangani secara aman dan bertanggungjawab.

“Baru-baru ini kita telah lihat bukti bahawa pilihan raya negeri Sarawak telah dijalankan dengan tidak adil dan ia adalah sebab utama mengapa kami mengambil keputusan mengadakan perhimpunan ini,” katanya pada majlis pelancaran.

Tambah Ambiga, pihaknya masih membuka pintu kepada BN untuk sama-sama menyertai Himpunan Bersih 2.0 bulan depan bagi menuntut pilihan raya adil dan bersih.

“Bersih adalah gabungan NGO, kami tidak disokong oleh mana-mana parti politik, tapi kami telah hantar surat jemputan kepada semua parti politik (untuk sertai Himpunan Bersih 2.0) tapi hanya Pakatan Rakyat yang bersetuju.

“Himpunan Bersih 2.0 dijalankan hanya oleh NGO kerana kami menuntut pilihan raya yang adil dan bersih untuk semua parti politik... jika pilihan raya adil dan bersih dapat dijalankan, ia juga baik kepada BN, juga adil kepada BN dan bagus kepada BN.

“Oleh itu jemputan untuk sama-sama menyertai himpunan Bersih 2.0 masih terbuka, kami jemput untuk turun ke jalanan bersama rakyak,” katanya.

Dalam ucapan itu, beliau juga menegaskan lapan tuntutan yang dibuat adalah munasabah dan perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Apa tuntutan Bersih? Apa masalah dengan tuntutan ini? Kami hendak taraf demokrasi dinaikkan... apa salah tuntutan Himpunan Bersih 2.0 ini? Tiada siapa yang boleh katakan bahawa tuntutan ini tidak munasabah.

“Apa yang kami lakukan ini dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan polis tidak boleh nafikan hak kita kerana kebebasan bersuara terjamin dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Pada hari Himpunan Bersih 2.0, Perkasa dan Pemuda Umno juga mengadakan perhimpunan balas.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak SPR mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Himpunan Bersih 2.0 akan berkumpul di tiga lokasi berbeza iaitu pusat membeli-belah Sogo, Masjid Kampung Baru dan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai pukul 2 petang sebelum berarak ke Istana Negara.

Menurut Ambiga, pihaknya bersedia bekerjasama dengan polis bagi menjayakan Himpunan Bersih 2.0.

“Bersih ingin meyakinkan pihak polis dan pihak-pihak lain bahawa Himpunan Bersih 2.0 adalah satu gerakan yang aman.

“Bersih ingin bekerjasama dengan pihak polis untuk menjayakan keinginan rakyat dalam melaksanakan hak perlembagaan untuk perhimpunan aman,” katanya.
Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan Himpunan Bersih 2.0 akan diteruskan sambil menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kuasa meminta membatalkan perhimpunan itu walaupun Putrajaya dapat memberi jaminan pilihan raya umum yang bersih dan adil.
Kata Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), pihaknya menghormati hasrat Anwar, namun keputusan membatalkan Himpunan Bersih 2.0 bukan di bawah kuasa Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.

Ini kerana jelas beliau, Bersih bukan didokong oleh parti-parti politik tetapi badan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut pilihan raya adil dan bebas.

“Kami hormat (keputusan Anwar) tapi rakyat bukan hak kamu. Ini keputusan kami (mengadakan Himpunan Bersih 2.0) dan keputusan ini dibuat setelah usaha kami mahu mengadakan sesi dialog bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bebas.

“Malah, kami juga yang akan mengetuai perhimpunan ini dan bukan parti politik,” katanya pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di sini malam tadi.

Tambah beliau, keputusan mengadakan Himpunan Bersih 2.0 dicapai sebulat suara dalam jawatankuasa pemandu Bersih yang turut dianggotai oleh Andrew Khoo, K. Arumugam, Dr Farouk Musa, Harris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Datuk Yeo Yang Poh, Zaid Kamaruddin, Dr Subramaniam Pillay dan Arul Prakkash.

Semalam, Anwar berkata, beliau akan meminta Himpunan Bersih 2.0 dibatalkan jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat memberi jaminan pilihan raya yang adil dan bersih.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau bersedia meminta Ambiga membatalkannya “esok juga” jika Najib memberi jaminan itu.

Bersih 2.0, perhimpunan kedua selepas kempen yang serupa diadakan penghujung tahun 2007, akan diadakan 9 Julai ini di ibu negara.

Ambiga juga menegaskan Himpunan Bersih 2.0 adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk kepentingan individu.

Beliau juga dalam ucapan perasmian itu sekali lagi mengulangi tidak akan memberi sebarang komen berhubung serangan peribadi yang dilakukan Perkasa.

“Saya menolak untuk memberi sebarang komen terhadap perkara menyerang saya, Himpunan Bersih 2.0 ini bukan mengenai saya tetapi tentang rakyat.

“Apa sahaja serangan (peribadi) yang dilakukan, Himpunan Bersih 2.0 ini akan tetap diteruskan... perhimpunan ini bukan untuk saya, ia adalah untuk kamu (rakyat),” katanya.


T-shirt Bersih 2.0 dipamerkan sewaktu majlis pelancaran semalam di Kuala Lumpur.
Perkasa ketika pelancaran perhimpunan anti-Bersih petang semalam bertindak membakar gambar Ambiga dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar rumah pada 9 Julai ini.
Selain mengecam penganjuran Himpunan Bersih 2.0, turut diedarkan risalah yang berbentuk serangan peribadi terhadap Ambiga dengan perkataan “Awas!!! Ambiga, wanita Hindu yang merbahaya.

Selain Perkasa dan Bersih, Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan pada hari tersebut.

Sementara itu, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berjanji pihaknya akan mengerahkan 100,000 ahlinya menyertai perhimpunan bulan depan.

“Hanya kuasa rakyat yang boleh menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dan PAS akan menggerakkan 100,000 ahli untuk sama-sama menyertai Himpunan Bersih 2.0,” katanya.

Bersih yang terdiri daripada gabungan 62 NGO yang menuntut keadilan dan pilihan raya adil dan bersih.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang turut diberi peluang memberikan ucapan malam tadi berkata, beliau melihat Ambiga sebagai “hebat” apabila berjaya menggerakkan Himpunan Bersih 2.0.

“Baru-baru ini ada khabar angin mengatakan Himpunan Bersih 2.0 adalah rancangan PAS, ada yang kata Datuk Seri Anwar Ibrahim mendalangi perhimpunan ini.

“Saya nak tekankan di sini bahawa semua itu dusta. Perhimpunan ini dirancang kerana kehebatan batang tubuh Datuk Ambiga dan beliau hebat apabila menendang keluar parti-parti politik daripada berada dalam Bersih,” katanya.
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger