:
Home » » Isu pengundi:Umno nafi,PKR ada bukti

Isu pengundi:Umno nafi,PKR ada bukti

Rabu, 11 Mei 2011 | 0 comments



KUALA LUMPUR, 11 Mei — Umno Hulu Selangor menafikan pihaknya ada menghantar permohonan kepada Menteri Dalam Negeri meminta kelulusan menukar taraf pemastautin tetap sekitar 2,000 rakyat asing untuk membolehkan mereka didaftar sebagai pengundi kawasan tersebut menjelang pilihan raya umum ke-13.
Sehubungan itu, Umno bahagian tersebut juga menggesa timbalan pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin menarik balik dakwaan itu, yang dibuat pada satu sidang media pagi semalam.

“Pengurusan Umno Selangor mengadakan mesyuarat khas petang tadi (semalam), dipengerusikan oleh Datuk (Mohamed) Idris (Abu Bakar) sendiri dan kami memutuskan dua perkara iaitu pihak yang membuat tuduhan perlu menarik balik tuduhan mereka dan jika tidak, kami akan saman mereka... ini fitnah,” kata jurucakap Umno Hulu Selangor ketika menghubungi The Malaysian Insider.


“Perkara (permohonan kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein) memang tak wujud, ia tak betul sama sekali... pemeriksaan kami mendapati ada beberapa kesilapan... surat kepala yang digunakan juga tidak sama seperti yang kami gunakan selalu, corak tanda tangan Datuk Idris juga lain dan ejaan nama Datuk Idris juga adalah kesilapan,” kata jurucakap itu lagi.

Katanya, biasanya Idris menggunakan nama penuh “Datuk Hj Mohamed Idris Hj Abu Bakar”, bukannya “Datuk Hj Idris Abu Bakar”.

Katanya, Umno Hulu Selangor juga akan membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dibuat Zuraida, hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan PKR Hulu Selangor juga akan membuat laporan polis hari ini ekoran pendedahan Zuraida semalam.

“Laporan polis akan dibuat sama ada di Shah Alam ataupun di Hulu Selangor sendiri,” katanya lagi.

Dalam kenyataan dibuat semalam, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang menunjukkan satu dokumen yang mendakwa Umno berkonspirasi menukar status pemastautin tetap rakyat asing bagi membolehkan mereka memperoleh kerakyatan bertaraf penuh, yang jumlahnya melibatkan 2,000, bagi membantu kemenangan BN di Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-13.

Zuraida memberitahu bahawa satu permohonan bertarikh 23 Mac 2011 telah dihantar ke pejabat Hishammuddin untuk mendapatkan kelulusan Menteri Dalam Negeri itu bagi mengubah status 2,000 pekerja asing yang kini memiliki status pemastautin tetap.

Salinan permohonan itu, menurut Zuraida, yang diberikan kepada beliau oleh seorang kakitangan awam Jumaat lalu, diedarkan kepada wakil media pada sidang media semalam.

Permohonan itu, yang bertajuk “Pilihan Raya Umum ke-13 - Memerlukan Permohonan Mendapatkan Taraf Kerakyatan Bagi Kawasan Parlimen Hulu Selangor”, menggunakan kepala surat Umno Hulu Selangor Umno dan ditandatangani oleh Idris.

Dokumen itu mendedahkan bahawa parti tersebut telah mengenal pasti dan mengesahkan senarai bakal pengundi dengan status pemastautin tetap yang boleh membantu BN di Hulu Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.

Pakatan Rakyat kuasai Selangor tiga tahun lalu dan kini memiliki 35 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pada April 2010, BN menguasai kerusi Parlimen Hulu Selangor menerusi pilihan raya kecil.


KEADILAN hari ini mendedahkan senjata kotor Umno bagi mengukuhkan undi dengan memberikan kerakyatan kepada 2000 pengundi baru warga Indonesia.

Timbalan pengerusi KEADILAN selangor, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya mendapat maklumat itu berdasarkan surat yang ditulis Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Idris Abu Bakar kepada Menteri Dalam negeri, Datuk Seri HIshamuddin tun Hussien.

“Dalam surat itu, Idris memohon kelulusan untuk mendapatkan warganegara Malaysia (PR) bagi kawasan Parlimen Hulu Selangor. Berdasarkan senarai nama yang disertakan dalam surat itu seramai 2000 orang telah dipilih,” kata Zuraida ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Zuraida menyifatkan tindakan terbaru itu menunjukkan Umno khususnya di Selangor terlalu terdesak untuk merampas semula negeri itu daripada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut beliau, nama-nama yang sudah dikenal pasti itu dengan jelas dinyatakan dalam surat tersebut sebagai bakal pengundi yang boleh membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

“Idris dengan jelas menyatakan individu-individu yang dipilih seramai 2000 orang itu akan membantu kemenangan PRU ke-13 nanti.

“Menurut surat itu, mereka telah menjalankan ujian saringan terhadap 2000 warga Indonesia itu bebas daripada kesalahan jenayah, dadah dan ideologi yang berbahaya serta terpesong. Mereka semua adalah daripada kalangan pelajar, usahawan tulen dan berkerjaya.

“Idris meminta supaya Hishamuddin memberi kelulusan awal (minit kelulusan) supaya pihaknya dapat menguruskan permohonan dengan lancar dan sempurna,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Ampang.
Sementara itu, Zuraida turut menegaskan bahawa KEADILAN akan membuat laporan polis berkenaan jenayah dan dan salahguna kuasa yang dilakukan Umno itu secepat mungkin.
“Kita akan membuat laporan polis terhadap Hishamuddin dan Idris secepat mungkin. Supaya polis menyiasat perkara ini terutamanya di Hulu Selangor.

“Surat ini kita terima daripada sumber yang menyokong PR pada Jumaat lepas,” katanya.

Politik kedai kopi:
Secaranyata memang ramai orang indonesia ini mempunyai IC taraf warganegara.
Dan merasa hairan,dengan senang mereka mendapat kenegaraan
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger