:
Home » » Di manakah agenda bumiputera UDA

Di manakah agenda bumiputera UDA

Ahad, 22 Mei 2011 | 0 comments

INDEKS prestasi utama (KPI) yang ditetapkan ialah pemilikan hartanah bumiputra di kawasan bandar, sasarannya 30 peratus, jangka masa pencapaian 20 tahun. Pelan tindakan merangkumi penubuhan agensi pelaksana berserta dengan penggubalan polisi dan akta parlimen. Setelah perdebatan di Parlimen, Akta 46, Pembangunan Bandar 1971 diluluskan. Lahirlah Lembaga Kemajuan Bandar (UDA) pada 12 November, 1971 dengan harapan yang tinggi, mengalas amanah mengisi kemerdekaan.

Fungsi UDA jelas termaktub dalam akta tersebut. UDA bertanggungjawab untuk "mempromosi dan menjalankan projek dalam kawasan pembangunan bandar dengan fokus untuk mencapai keseimbangan peluang antara kaum dalam bidang perdagangan dan industri , perumahan dan aktiviti-aktiviti lain" UDA juga adalah agensi yang bertanggungjawab untuk "menterjemahkan polisi kerajaan mengstruktur masyarakat melalui pembangunan perbandaran kepada program-program tindakan"



Pelbagai hak dan keistemewaaan diberikan pada UDA supaya dapat menjalankan tanggungjawabnya memaju dan melaksanakan projek-projek di kawasan pembangunan bandar bagi mengimbangikan kedudukan taraf sosio ekonomi antara kaum di Malaysia. Pelan tindakan merangkumi pembinaan premis perniagaan bagi menyediakan peluang bagi kaum bumiputera berniaga di kawasan yang strategik disamping pembangunan atau penempatan semula di kawasan bandar dan pembangunan bandar-bandar baru.

Setelah hampir 40 tahun, adakah sasaran dicapai? Adakah hak milik hartanah bumiputera di kawasan bandar melebihi sasaran 30 peratus? Data menunjukkan pemilikan bumiputra untuk premis industri hanya 4.5 peratus dan bangunan pula pada tahap 12.7 perarus. Terlalu jelas sasaran tidak dicapai, kita telah gagal. Apakah tindakan pembetulan yang telah dibuat? Apakah tindakan diperhebat untuk mencapai sasaran? Atau sasarannya dikira mustahil untuk dicapai, lalu pencapaiannya bukan lagi menjadi sasaran? Atau indek prestasinya telah diabaikan sama sekali, ia bukannya matlamat pada masa kini? Atau tindakan lain diajukan? Rizabkan hartanah Melayu supaya mereka tidak menjual pegangan hakmilik sebagai jalan pintas mendapat keuntungan? Apakah tindakan UDA sebagai agensi pelaksana yang ditubuhkan untuk mencapai sasaran 30 peratus pegangan hartanah bumiputra di kawasan bandar dalam projek-projek barunya?

Kata pengerusi UDA, "Realiti ekonomi kini memaksa untuk berpisah daripada amalan biasa menetapkan kuota pemilikan bumiputra dalam projek-projek kami. Model perniagaan sekarang akan mempunyai campuran optimal pembeli yang mempunyai kelebihan kuasa pembelian untuk memastikan peningkatan nilai hartanah di masa hadapan UDA tidak boleh lagi mensubsidikan agenda bumiputera tanpa mengambil kira pulangan atas pelaburan".

Strategik

Tidak hairanlah jika projek pembangunan UDA di kawasan strategik di bekas Penjara Pudu di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur akan dibuat berdasarkan permintaan pasaran. UDA akan membina projek pembangunan bercampur yang menempatkan pusat transit, service apartment, pejabat, pusat rekreasi, hotel dan ruang niaga. UDA akan membangunkan projek yang bertaraf tinggi, walaupun ianya diluar kemampuan sebilangan besar kaum bumiputera, tetapi masih boleh dimiliki oleh bumiputra yang kaya. UDA ingin menghidupkan persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif. Hasilnya, UDA sekarang akan memberikan fokus kepada aspek keberuntungan dalam projek pembangunannya. Hasilnya, tiada kuota bumiputra ditentukan dalam projek tersebut walaupun UDA membayar harga premium yang rendah untuk tanah tersebut. Hasilnya, keseimbangan ekonomi antara kaum dan agenda sosial bukan lagi menjadi matlamat utama UDA.

Adalah ironik sekali, kritikan pengerusi UDA kepada bumiputera juga boleh ditujukan juga kepada UDA. Tidakkah tindakan UDA ini sama dengan bumiputera lain yang menjual rumah dibeli dengan harga diskaun kepada kaum lain untuk mendapat keuntungan? UDA merasakan ia mempunyai kekangan untuk melaksanakan dan seterusnya mencapai matlamat asalnya iaitu untuk membantu dan mempastikan penyertaan bumiputera baik dari segi pegangan hakmilik rumah mahupun premis perniagaan di kawasan bandar. Jadi dikatakan tindakan UDA in adalah untuk menjana dana supaya dapat mengalas agenda bumiputra di masa depan. Jika pada masa kini, agenda bumiputra tidak diperdulikan, apakah jaminan, ianya akan dibuat dimasa hadapan?

Jika itu adalah pelan strategik UDA, bukannya lebih baik bagi kerajaan untuk membuat tender terbuka dan menjual tanah dibekas penjara pudu pada harga semasa yang tinggi. Pulangan ini dapat digunakan untuk projek sosial membantu rakyat Malaysia, yang lebih memerlukan bantuan yang majoritinya terdiri daripada golongan bumiputera.

Data juga menunjukkan bahawa 79 peratus daripada mereka yang berpendapatan rendah, iaitu kurang daripada RM1,000 adalah golongan bumiputera. Adakah agenda bumiputra akan tercapai jika pembangunan baru UDA adalah untuk bumiputera yang kaya. Apakah perbezaan UDA dengan syarikat-syarikat hartanah yang lain? Bagaimana dengan usaha untuk mengupayakan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang hanya tercapai apabila ada komitmen untuk menyediakan ruang berniaga kepada usahawan bumiputera dan juga perumahan mampu milik di kawasan bandar? Adakah UDA telah lari daripada agenda bumiputra? Apakah sasaran memperkasa dan melahirkan MPPB akan timbul dengan cara ini?
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger