Rabu, 25 Mei 2011

Bukti Kerajaan Gagal Urus Kewangan Negara

SHAH ALAM 25 MEI : Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyatakan langkah Jabatan Perkhidmatan Awam membeku dan memansuhkan jawatan kosong di semua Kementerian bermula 1 Jun depan membuktikan kedudukan ekonomi negara semakin buruk.

Malah, beliau yang terkejut dengan pengumuman tersebut turut menyifatkan Kerajaan Pusat sebagai tidak bertanggungjawab dalam menguruskan kewangan negara khususnya peruntukan untuk Perkhidmatan Awam sehingga menyebabkan keadaan seperti ini berlaku ketika pilihan raya umum dijangkakan tidak lama lagi.

Katanya, sebelum ini kakitangan kerajaan merupakan golongan yang sentiasa ditatang bagai minyak yang penuh dengan pelbagai pemberian gula-gula politik pada setiap kempennya semata-mata untuk memenangkan kerajaan pusat.



"Saya yakin faktor utama pembekuan ini adalah kerana kerajaan sudah tiada duit untuk menampung kos-kos perbelanjaan yang telah ditetapkan bagi setiap jawatan tersebut." katanya.

Johari yang juga bekas Pegawai Tinggi Kerajaan Pusat itu turut menyatakan betapa tindakan tersebut telah menutup ruang dan peluang anak muda hari ini untuk berkhidmat dengan kerajaan.

"Ini satu penganiayaan kepada anak-anak muda yang bercita-cita besar apabila keluar dari universiti agar mempunyai harapan tinggi untuk menjawat jawatan di perkhidmatan awam. Tindakan ini tidak munasabah."ujarnya.

Johari berkata demikian ketika ditemubual Tv Selangor bagi mengulas tindakan kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam membeku dan memansuhkan jawatan kosong di semua Kementerian bermula 1 Jun depan.

Surat Edaran daripada JPA bertarikh 20 Mei lalu menyatakan pembekuan pengambilan pengisian jawatan dan pemansuhan jawatan kosong di semua kementerian dan Jabatan Persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Badan Berkanun Persekutuan Dan Badan Berkanun Negeri yang akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2011.

Surat yang ditandatangani Ketua Pengarah JPA, Datuk Sri Abu Bakar Abdullah turut menyatakan keputusan itu dicapai selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai perjawatan dan gaji sektor awam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 6 Mei lalu.

Bait 'Keputusan ini berikutan selaras dengan langkah kerajaan untuk merasionalisasikan dan mewujudkan perkhidmatan awam yang kejat (Lean Civil Service)' pula membuktikan Pentadbiran Najib cuba mengurangkan kakitangannya sepertimana beliau me'rasionalisasi'kan pemberian subsidi kepada rakyat.

Bilangan kakitangan kerajaan negara kini mencecah 1.2 juta orang atau hampir 4 peratus dari penduduk negara.

Ujar Johari lagi, tindakan luar biasa kerajaan ini dengan mengurangan jumlah kakitangan kerajaan akan lebih memburukkan keberkesanan perkhidmatan negara dalam menangani masalah rakyat.

"Tapi untuk memansuhkan semua jawatan kosong sesuatu yang luar biasa kerana jawatan-jawatan yang diwujudkan sudah tentu ada rasionalitinya, maknanya dia berusaha untuk menyelesaikan masalah pelanggan (rakyat)."katanya.

Related Posts

Bukti Kerajaan Gagal Urus Kewangan Negara
4/ 5
Oleh