Selasa, 31 Mei 2011

Analisa dari KPRU tentang kenaikan barang

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berasa kesal dengan langkah kerajaan untuk meningkatkan tarif elektirk secara purata sebanyak 7.12% mulai Jun 2011 mahupun pelbagai pihak, termasuk pakar ekonomi telah mengingatkan kerajaan bahawa tekanan inflasi semakin mendesak. Dalam pada itu, kerajaan juga mengumumkan bahawa tarif elektrik di negara ini akan dinaikkan setiap enam bulan bagi tahun-tahun berikut supaya selaras dengan kenaikan harga gas asli yang dijual oleh Petronas kepada pengeluar tenaga.

Pengumuman kerajaan bahawa 4.4 juta atau 75% pengguna di Malaysia tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik memang dalam jangkaan. Akan tetapi, kerajaan secara sengaja mengabaikan satu fakta, iaitu harga barangan harian dan makanan akan meningkat susulan daripada pengumuman tersebut. Hal ini kerana pihak industri pengeluaran makanan yang menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik dijangka memindah kos berkaitan kepada pihak pengguna.


Pandangan sedemikian juga disahkan oleh ketua ekonomis Ratings Agency Malaysia (RAM) Yeah Kim Leng yang mengatakan bahawa walaupun sebahagian besar isi rumah terlepas daripada kesan langsung kenaikan tarif elektrik, tetapi mereka tetap akan menghadapi bebannya apabila pengeluar dan peniaga memindakan kos yang lebih tinggi kepada pengguna.

KPRU ingin menekankan bahawa kenaikan tarif elektrik dengan kuantum yang tinggi pada ketika inflasi cukup membebankan rakyat adalah kurang wajar. Dalam konteks kenaikan kos atau harga barangan utama dan barangan harian lain beberapa kali sebelum ini, kenaikan tarif elektrik kali ini akan menyebabkan gegaran berganda kepada pengeluar yang akhirnya memindahkan tekanan itu kepada harga barangan pengguna.

Misalnya, mulai Julai 2010, harga minyak RON97 mula dinaikkan sehingga RM2.15/liter pada 2 November 2010, RM2.30 pada 1 Disember 2010, dan RM2.50 pada 4 Januari 2011. Harga minyak RON97 terbaru mencecah RM2.90/liter.

Minyak RON95 mula diperkenalkan dalam pasaran domestik pada 1 September 2009 untuk menggantikan RON92. Harganya bermula pada RM1.75/liter dan seterusnya dinaikkkan kepada RM1.80. Dalam tahun 2010, harga minyak RON95 telah meningkat sebanyak dua kali. Harga terkini minyak RON95 adalah RM1.90/liter, dan dijangka akan naik lagi dalam masa yang singkat.

Dalam tahun 2010 sahaja, harga gula telah naik mendadak sebanyak 55%. Pada Januari 2010, harga gula hanya berada pada paras RM1.10/kg, kemudian naik sebanyak tiga kali, iaitu 20 sen dalam Jan 2010, 25 sen dalam Julai 2010 dan 20 sen dalam 4 Disember 2010 sehingga RM2.10/kg. Pada 10 Mei 2011, harga gula sekali lagi naik sebanyak 20 sen menjadikan harga runcit sebanyak RM2.30/kg. Ekoran itu, Persatuan Kedai Kopi Wilayah Persekutuan-Selangor telah menaikkan harga minuman daripada RM1.20 secawan kepada RM1.40 secawan mulai 1 Jan 2011

KPRU ingin memaklumkan bahawa fenomena kenaikan harga bukan sahaja berlaku ke atas barangan tertentu, malah kesannya besar merangkumi sektor yang luas, seperti yang ditunjukkan dalam jadual berikut:

Barangan Harga  Sebelum 2010 (RM) Harga 2011(RM) Kenaikan
Pakaian cita 30-50%
 Tayar Baru  200 210 3-7% 
Tayar Celup  10-15%
Minuman panas bancuhan    +0.20  16%
Kacang Kuning 3/kg 5/kg  67% 
Kacang  4/kg 7/kg  75%
Kacang Hitam 5/kg  14/kg  180% 
Kacang Merah   4/kg 7.5/kg  88% 
Kacang Hijau  4/kg  7/kg  75%
Halia  4/kg  7/kg  75% 
Cili Kering  7/kg  10/kg 43% 
Bawang Putih  4/kg 10/kg  150% 
Bawang Besar  1.2/kg  3.2/kg  167% 
Kentang  1.8/kg  3/kg  67% 
Nescafe dan Milo  30.00  31.50  5-6% 
Gula 1.1/kg 2.30/kg  110% 
Minyak RON95  1.75 /liter  1.90/liter  11% 
Minyak RON97  2.05/liter  2.90/liter 

Ekoran itu, kadar inflasi di Malaysia pada Disember 2010 mencecah 2.2%, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Indeks Harga Pengguna (CPI) kemudian melonjak ke 3% pada Mac 2011, dan seterusnya 3.2% pada April 2011, menjadikan kadar inflasi setinggi 2.9% sepanjang bulan Januari hingga April tahun 2011. Perkembangan ini sejajar dengan unjuran dalam Laporan Tahunan Bank Negara bertarikh 24 Mac 2011 bahawa kadar inflasi akan mencatat 2.5%-3.5% bagi tahun 2011.Peningkatan kadar inflasi jelas akan memberikan impak negatif seperti menjejaskan kuasa membeli dan meningkatkan beban kos sara hidup rakyat, terutamanya kepada golongan yang kurang berdaya dan berupaya.

Satu lagi faktor penting yang telah diabaikan oleh kerajaan ialah kadar kenaikan gaji dan pendapatan boleh guna rakyat tidak dapat menyaingi kadar kenaikan inflasi. Mengikut Laporan Bank Dunia, purata kenaikan gaji sebenar di negara ini hanyalah sekitar 2.6% dari tahun 1994 hingga tahun 2007.Satu lagi kajian yang bernama Reshaping Economic Geography Report in East Asia, East Asian and Pacific region companion volume to the World Development Report 2009 juga menunjukkan kadar kenaikan gaji secara purata selepas krisis ekonomi 1997 di Malaysia hanya sekadar 1.9%.

Selain itu, walaupun Robert Walters Global Salary Survey 2011 mengunjurkan kenaikan gaji sebanyak 5-30% di Malaysia bagi tahun ini, tetapi unjuran tersebut hanya merujuk kepada golongan professional daripada sektor ICT, akaun, kewangan, bank, logistik dan penjualan yang jauh lebih selesa dari segi kehidupan dan pendapatan boleh guna.

Hakikatnya, pada tahun 2010, antara lebih 10 juta tenaga kerja di Malaysia, hanya 3.76 juta orang rakyat yang layak membayar cukai. Dengan kata lain, hampir 6.4 juta rakyat Malaysia tidak mampu membayar cukai pendapatan peribadi. Golongan 6.4 juta ini membentuk lapisan rakyat miskin, seperti yang disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-10 sebagai "40% isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan dengan purata pendapatan hanya mencapai RM1,440".

Jika pengagihan pendapatan diteliti mengikut subjek pekerja, satu kajian oleh Kementerian Sumber Manusia mengenai gaji pekerja di Malaysia mendapati bahawa hampir 34% daripada kira-kira 1.3 juta pekerja memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700. Hampir 34% pekerja memperoleh gaji di bawah garis kemiskinan yang bermaksud seramai 1/3 pekerja bergaji di bawah paras kemiskinan.

Golongan sebeginilah yang terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat, kekurangan peluang pekerjaan, tekanan harga barang dan sewa rumah yang melambung serta masa depan yang muram. Akibatnya, dasar rasionalisasi subsidi secara tergesa-gesa ini memang tidak banyak menggoyangkan gaya hidup golongan atasan dan elit, tetapi kehidupan rakyat biasa terjejas dan terbiar papa kedana.

KPRU berpendapat pemotongan subsidi wajar dilaksanakan sekali dengan "rasionalisasi" dasar kerajaan sedia ada yang bersifat berat sebelah. Pengurangan subsidi rakyat sewajarnya dilaksanakan selepas kerajaan menilai dan merunding semula perjanjian yang memberikan subsidi "luar biasa" kepada korporat besar, antaranya termasuk perjanjian antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Penjana Tenaga Swasta (IPP) yang memberikan subsidi sebanyak RM22 billion setahun. Jika tidak, langkah kenaikan kos kehidupan rakyat tersebut bukan sahaja akan mewujudkan persepsi ketidakadilan dan kurang "legitimate", malah dilihat sebagai menjalankan penjajahan berbentuk ekonomi terhadap golongan rakyat marhaen.

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU):Merdeka Review


Baca lagi isu kenaikan barang

Kerajaan BN gagal untuk menjalankan tugas menjaga kepentingan rakyat. Pemimpin sudah lari daripada tanggungjawab sebenar sebagai seorang pemimpin kepada rakyat. Sepatutnya sebagai pemimpin yang menjadi khadam rakyat perlu mencari formula bagaimana hendak menyenangkan rakyat bukan menyusahkan rakyat.

Realiti kesusahan rakyat

Kenaikan harga barang keperluan rakyat seperti bawang merah RM7.00, bawang putih RM8.00 sekilo, sayuran,ikan dan minyak masak.

Baru-baru ini di negeri Pahang minyak masak tidak ada di pasaran, sedangkan Pahang pengeluar sawit terbesar di negara ini.

Pada tahun 2010 harga gula telah naik sebanyak 55%. Pada Jan 2010 harga gula hanya RM1.10 sekilo telah naik sebanyak tiga kali, bulan januari 20 sen, julai 25 sen dan 4 disember 20 sen, sehingga mencecah RM2.10 sekilo. Pada 10 Mei 2011 gula naik lagi 20 sen menjadi harga RM2.30 sen.

Mulai 1/1/11 Persatuan Kedai Kopi WP/Selangor menaikkan harga minuman RM1.20 kepada RM1.40 sen secawan.∙

Kenapa harga barang naik

Pemimpin bukan berjiwa rakyat, tidak fikir masalah rakyat. Mereka hanya membela kroni dan anak pinak sahaja. Mereka tidak terasa keperitan kerana yang menanggung keperluan mereka ialah rakyat.

Rasuah meningkat, meyebabkan harga jualan meningkat kerana terpaksa membayar rasuah oleh peniaga akhirnya bebanan kos rasuah ditanggung oleh pengguna (rakyat).

Pemimpin tidak kreatif untuk memajukan hasil bumi walaupun Malaysia negara yang subur sehingga kadar import makanan terlalu tinggi sedangkan bumi Malaysia cukup subur.Nilai import makanan meningkat mendadak daripada tahun 2005 sebanyak RM17.7 bilion kepada RM26.7 bilion pada tahun 2009. Import makanan menjadi tinggi kerana andaian lebih ekonomik tanah didirikan industri daripada memajukan pertanian.

Unsur untuk mengutamakan kroni melalui permit import makanan menyebabkan kos naik mendadak, akhirnya beban ditanggung oleh rakyat.

Tidak ada keberkatan daripada Allah kerana banyak maksiat dan perkara munkar berlaku berterusan.

Pelabur tidak yakin kerana rasuah, menyebabkan ekonomi mengucup.

Alasan untuk membodoh rakyat

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Hal Ehwal Pengguna berkata rakyat digalak menanam sayur-sayuran untuk meringan beban keluarga.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata “bawang naik kerana di India banjir. (UM 7/1/11).

Datuk Seri Ismail Sabri marah kepada peniaga kerana membuat spekulasi sehingga harga barang melambung. (UM 8/1/11)∙

Datuk Seri Ismail Sabri mengarahkan supaya kurangkan makan manis supaya kurangkan makan gula dan rakyat makan makanan rebus sahaja.∙

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mencadangkan supaya negeri Pakatan Rakyat menurunkan harga barang. (UM 16/1/11)

Datuk Tan Lian Hoe memberi alasan pergolakan politik dunia seperti di Libya menyebabkan harga barang naik. (Bernama 27/2/11)

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daging mahal kerana Australia (Queensland) banjir. (UM 5/3/11)

Negara akan bankrap jika subsidi tidak dihentikan.

Barang naik kerana rakyat di negara ini semakin ramai maka permintaan melebihi tawaran. (UM 5/3/11)

Pemimpin mengeluarkan slogan “Ubah Gaya Hidup Anda” untuk kempen jimat cermat.

Datuk Seri Ismail Sabri cuba bermain wayang dengan kenyataannya "Kerajaan berusaha untuk pastikan barang tidak naik dan tidak akan hapus subsidi. (Ismail Sabri, Bernama 5/3/11)

Jawapan kepada pemimpin Pak Pandir

PAS bersetuju rakyat kurang makan manis, tetapi bagaimana pula rakyat yang berniaga kuih mesti cukup rasa.

Memang kerajaan perlu menaikkan harga gula, tepung, minyak masak untuk elak negara bankrap pada tahun 2019 seperti kenyataan Datuk Idris Jala, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Pemimpin negara tidak kisah kerana semua keperluan mereka rakyat tanggung.

Alasan kerajaan kenapa harga minyak naik

Gunakan istilah penyelarasan, bukan kenaikan supaya rakyat boleh ditipu.

Arahkan media jangan letak perkataan "naik", tetapi gunakan perkataan "penyelarasan".

Datuk Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan berkata “supaya minyak tidak diseludup ke negara jiran".

Harga minyak di negara ini lebih murah daripada negara jiran.

Datuk Tan Lian Hoe, rakyat perlu terima kasih kepada kerajaan kerana hanya menaik minyak 5 sen sahaja sepatutnya banyak lagi∙

Harga minyak di peringkat antarabangsa naik maka Malaysia juga terkesan.

Wang subsidi minyak akan digunakan untuk memajukan pengangkutan awam.

Wang subsidi yang ditarik akan membantu rakyat miskin.

Jawapan untuk pemimpin Pak Pandir

Jangan bandingkan dengan Singapura, kerana ia bukan negeri pengeluar minyak. Kena banding dengan negara pengeluar minyak seperti Brunei, Iran, Saudi, Bahrain.

Walaupun minyak mahal di Singapura, rakyatnya masih mampu kerana taraf hidup rakyatnya tinggi.

Jika minyak peringkat antarabangsa naik, Malaysia tentu beruntung kerana negara kita pengeluar minyak. Petronas telah membayar cukai kepada kerajaan daripada tahun 2007-2010 sebanyak RM325 bilion (setiap tahun kerajaan dapat RM80.1 bilion). Jika kerajaan ambil RM14 bilion untuk subsidi masih berbaki RM76.1 bilion. Kenapa kerajaan boleh beri subsidi untuk IPP sebanyak RM19 bilion setahun. Semata-mata kerana kroni. Rakyat ditekan dengan kenaikan harga barang.

Tidak adil wang subsidi minyak ditarik hanya untuk memajukan perkhidmatan awam di bandar, sedangkan harga minyak di kampung sama seperti di bandar.

Perdana Menteri dan anggota kabinet Britain dan Singapura mengumumkan pemotongan gaji dan elaun mereka tapi di Malaysia, Perdana Menterinya mengumumkan pemotongan subsidi untuk rakyat.

Bagaimana PR mengawal harga barang

Insya Allah, jika mandat diberikan kepada PR untuk memerintah di peringkat pusat kita mampu memberi yang terbaik untuk rakyat.

Mengambil model kerajaan Kelantan yang berjaya menguruskan negeri hampir 21 tahun walaupun mengalami kekangan kewangan tanpa terencat untuk merakyatkan ekonomi melalui program kebajikan seperti kifalah, skim al ziwaj (bantuan perkahwinan), bantuan beras secara bulanan kepada orang miskin. Sekarang negeri Kelantan termiskin nombor enam, berbanding ketika mula-mula memerintah nombor dua.

Kedah negeri yang terpaksa memikul hutang kerajaan BN sebanyak RM2.3 bilion telah berjaya mencipta sejarah dengan lebihan wang RM19 juta pada tahun 2010. Jika Kedah pun mampu membuat lonjakan sudah barang pasti jika PR memerintah pusat, sudah tentu boleh membela rakyat dengan pendapatan negara yang melimpah ruah.

Berusaha untuk memerangi rasuah yang berlaku di dalam negara, seperti laporan Ketua Audit Negara 2008 yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM28 bilion, alangkah baiknya wang ini digunakan untuk rakyat.

Model pengurusan kewangan dan menjaga kebajikan rakyat di negeri maju seperti Selangor dan Pulau Pinang boleh dijadikan contoh jika PR memerintah kerajaan pusat.

Memerangi ketirisan dan pembaziran adalah satu cara untuk memastikan manfaat kemewahan di pulangkan kepada rakyat. PR tidak akan mengulangi pembaziran wang rakyat seperti Majlis Bandaraya Bersejarah Melaka yang membina dua tandas awam berharga RM190,000.

Mengoptimumkan penggunaan tanah yang subur untuk menghasilkan bahan makanan supaya wang negara tidak mengalir keluar. Lebih daripada itu ia menjadi satu keselamatan makanan tanpa bergantung kepada negara luar jika berlaku bencana di dalam negara.

Menarik balik subsidi kepada Penjana Kuasa (IPP) sebanyak RM19 bilion dan diagih kepada 27 juta rakyat supaya dapat menyekat kenaikan keperluan rakyat.

Ini adalah sebahagian daripada jawapan untuk membuktikan bahawa BN turun, barang turun. BN naik, barang naik, banyak naik dan binasa negara.

Related Posts

Analisa dari KPRU tentang kenaikan barang
4/ 5
Oleh