Jumaat, 29 April 2011

Zamihan Mat Zain:Pertahankan pendiriannya

Zamihan Mat Zain:Pertahankan pendiriannya

KUALA LUMPUR, 29 April — Tegas mempertahankan pendiriannya, Zamihan Mat Zain mencabar pengikut fahaman Wahabi membuktikan yang beliau ada menghina Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, kata pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, beliau hanya memberi pandangan berhubung kehadiran Sheikh Abdul Rahman ke Malaysia dan bukan menghina tokoh agama itu.

Selain itu, tegas Zamihan, beliau mempunyai bukti bahawa seminar Berpegang Kepada al-Quran dan As-Sunah anjuran kerajaan negeri Perlis yang turut disertai Sheikh Abdul Rahman menyanjung fahaman Wahabi dan mencela amalan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.



“Saya tidak serang (peribadi), saya tidak hina Sheikh Abdul Rahman... saya hanya beri pandangan dan sesiapa pun boleh beri pandangan dalam negara demokrasi, adakah ia salah? Dan saya akan terus berikan pandangan saya ini.

“Dalam pandangan yang saya utarakan, saya tidak bermaksud nak hina atau fitnah (Sheikh Abdul Rahman) tapi sekadar memberi pandangan, jika tidak boleh terima terpulang tapi kenapa ada pihak yang melenting... yang kepanasan terhadap pandangan saya sehingga cuba jatuh reputasi saya sebagai penjawat awam dengan hina saya dalam laman Facebook.

“Mereka yang kritik saya... hina saya itu adalah pengikut Wahabi yang fanatik, saya beri pandangan tapi mereka kata saya hina dan fitnah Sheikh Abdul Rahman. Mana bukti kata saya hina dan fitnah imam ini? Mana bukti saya kata macam itu?” katanya.

Kata Zamihan beliau mencabar pengikut fahaman Wahabi yang menghinanya agar membuktikan secara fakta beliau menghina Sheikh Abdul Rahman.

“Dan, saya bersedia bersemuka bagi menjelaskan situasi ini,” tegasnya merujuk kepada laman Facebook yang menghinanya.

Kelmarin satu laman Facebook yang dinamakan “Kami Mahu Zamihan Diambil Tindakan Kerana Menghina Sheikh Sudais” diwujudkan mengecam tindakan pegawai Jakim itu menghina Sheikh Abdul Rahman dan menuntut agar tindakan keras diambil terhadap Zamihan.

Laman Facebook itu telah menarik 1,620 peminat yang tidak bersetuju dengan tindakan dan kenyataan Zamihan terhadap Sheikh Abdul Rahman.

“Mereka yang serang saya dalam Facebook ini adalah pengikut fanatik Wahabi, kalau tidak mereka tidak akan serang saya macam itu. Kalau dah fanatik macam ini jadinya.

“Saya tidak serang Sheikh Abdul Rahman... saya tidak hina beliau tapi kena perlu kumpul orang serang saya dalam Facebook? Mereka ini adalah fanatik Wahabi, kalau tidak berpuas hati boleh bersemuka dengan saya,” kata Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia kepada The Malaysian Insider.

Berbalik kepada seminar Berpegang Kepada al-Quran dan As-Sunah, Zamihan berkata, seminar yang disertai tokoh agama dalam dan luar negara ini berorientasikan fahaman Wahabi kerana ada penceramah yang memuji fahaman itu dan mencela sifat 20 yang menjadi pegangan mazhab Shafie.

“Saya kata seminar itu berorientasikan fahaman Wahabi sebab ada penceramah yang menghina kita punya pegangan dan memuji Muhammad bin Abdul Wahab (Wahabi), jadi ini apa kalau sudah memuji? Ini adalah fahaman Wahabi.

“Kalau ada penceramah yang memuji Wahabi dan mencela sifat 20 maknanya orang ini berfahaman Wahabi dan fahaman ini tidak wajar diketengahkan dalam konteks pegangan kita, malah fahaman ini telah disanggah oleh beratus-ratus ulama muktabar Ahli Sunah Waljamaah,” katanya.

Tegas Zamihan, beliau mempunyai bukti sahih yang mengaitkan seminar itu dengan fahaman Wahabi.

“Saya miliki bukti... saya ada video dan saya ada gambar yang berkait seminar berkenaan dan ia memang tidak boleh dinafikan.

“Saya tak takut dan gentar untuk berdepan dengan sesiapa, saya sedia untuk bersemuka walaupun dengan pengikut Wahabi, saya jadikan seminar ini sebagai asas (menyuntik fahaman Wahabi), saya ada bukti dan fakta yang jelas, malah saya akan tetap mempertahankan pendirian saya ini,” katanya.

Tiga hari lalu, Zamihan dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan.

Justeru, Zamihan meminta pihak berkuasa berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran amalan Wahabi di negara ini.

Related Posts

Zamihan Mat Zain:Pertahankan pendiriannya
4/ 5
Oleh