Selasa, 12 April 2011

Najib mengakui Taib sebagai liabiliti

Najib mengakui Taib sebagai liabiliti


Pengumuman Perdana Menteri Najib Razak bahawa Taib Mahmud akan berundur selepas PRN Sarawak dilihat bercanggah dengan kenyataan Taib Mahmud sendiri yang mendakwa "akan berundur beberapa tahun lagi", semalam. Jelas, kedua-dua mereka menyanggah kenyataan antara satu sama lain, demikianlah yang disifatkan Setiausaha DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

"'Beberapa tahun' yang dimaksudkan (Taib Mahmud) mungkin 9 tahun, kenyataan Najib '(berundur) selepas pilihan raya' pula memberi persepsi 'tidak lama selepas pilihan raya," kata Chong Chieng Jen yang juga calon DUN Kota Sentosa, sambil menyifatkan bahawa kelihatan tamparan Najib pada Taib lebih menyengitkan.

"Selepas Najib berkata demikian, Taib Mahmud pula berkata, akan berundur selepas beberapa tahun, dan bukannya selepas pilihan raya negeri. Mesejnya jelas, Taib mahu kekal. Pendirian Najib sama ada mahu Taib berundur masih kabur, tapi Najib mahu menang dalam pilihan raya. Namun, Taib mahu kekal, tidak mempedulikan apa keputusan pilihan raya."

Naib Pengerusi DAP Pusat ini menyimpulkan, "Satu-satunya situasi yang memastikan Taib berundur adalah mengalahkan beliau."



Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang turut tampil dalam sidang media tadi berkata, kenyataan Najib jelas menunjukkan bahawa dirinya mengakui Taib Mahmud adalah liabiliti, dan mengakui ketidakpuasan rakyat terhadap Taib.

"Konflik yang besar di antara kedua-duanya. Sering kali mereka berkata Pakatan Rakyat bercakaran sesama sendiri. Konflik yang besar di antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri Sarawak, ia tidak boleh diselesaikan dengan mudah. Setiap daripada mereka mempunyai agenda tersendiri. Sama ada anda mempercayai Najib, atau Taib Mahmud," kata AJK PAS Pusat ini.

Namun, Khalid Samad menganggap Taib jelas menolak kerajaan persekutuan dan rakyat Sarawak, dan mengambil keputusan untuk kekal berkuasa, sehingga dirinya merasakan sudah tiba masa untuk berundur.

Ketika ditanya media sama ada kenyataan Taib ibarat tamparan kepada Najib, Chong Chieng Jen menyifatkannya sebagai tampar-menampar antara satu sama lain. Ketika PRN Sarawak berlangsung, Taib adalah orang yang memimpin BN untuk bertarung dalam pilihan raya. Namun demikian, pemimpin kerajaan persekutuan pula masuk dan berkata beliau bakal berundur selepas pilihan raya, dan ini merupakan tamparan kepada Taib.

Taib membalas tamparan Najib semalam, apabila mendakwa dirinya akan berundur beberapa tahun selepas ini. Bagaimanapun, Chong Chieng Jen menganggap tamparan Najib lebih menyengitkan, berbanding Taib yang hanya membalas dengan cara yang lebih tersirat.

Related Posts

Najib mengakui Taib sebagai liabiliti
4/ 5
Oleh