:
Home » » Bukti Taib gagal di Sarawak

Bukti Taib gagal di Sarawak

Ahad, 10 April 2011 | 0 comments


KUCHING, 10 April — Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa langkah Datuk Seri Najib Razak sendiri “mengetuai” BN Sarawak sepanjang kempen enam hari yang berbaki menunjukkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah pun gagal dalam usaha mempertahankan bumi Kenyalang.
Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata, tidak pernah dalam sejarah seorang perdana menteri dan keseluruhan anggota Kabinet pusat sanggup menghabiskan kebanyakan masa dan usaha mereka ketika pilihan raya negeri Sarawak.



Kempen pilihan raya negeri ke-10 ini bermula Rabu lalu dan kini hanya tinggal lagi enam hari.

“Buat kali pertama kita melihat kegagalan di pihak kepimpinan negeri... dan usaha terdesak Najib untuk datang dan dengan sewenang-wenangnya menggunakan keseluruhan sumber kerajaan persekutuan (untuk berkempen),” kata beliau kepada pemberita di sini petang ini.

Pakatan Rakyat menggerakkan kempen mereka dengan menggunakan rasa tidak puas hati penduduk Sarawak terhadap Taib, ketua menteri paling lama memegang kuasa itu.

Meskipun dibayangi dakwaan salah guna kuasa dan rasuah, Taib memutuskan untuk terus mempertahankan kerusi Balingian kali ini dan mahu mengetuai BN Sarawak dalam pilihan raya negeri kali ini.

“Biasanya, pada masa-masa lalu ada sensitiviti bahawa (kempen di) Sarawak hanya harus diuruskan oleh rakyat Sarawak,” kata Anwar, Ketua Umum PKR ketika ditanya mengenai jadual ketat enam hari Najib menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Najib akan berada di Kuching semula malam ini selepas kunjungan awal Khamis lalu.

“Sangat jelas, ada kebimbangan dalam BN bahawa Taib Mahmud, ketua menteri dan keseluruhan Kabinet negeri tidak berupaya untuk memastikan sokongan daripada rakyat Sarawak buat BN, bukan sahaja memerlukan Najib tetapi keseluruhan sumber kerajaan persekutuan,” kata Anwar.

Ketika ditemui di Sungai Buloh pagi tadi, Najib yang diminta mengulas laporan media bahawa kekerapan beliau melawat Sarawak kononnya BN tergugat menjelang hari pengundian 16 April ini berkata, lawatannya itu bukanlah satu perkara luar biasa.

Beliau berkata, apa yang dilakukannya adalah atas rasa tanggungjawab sebagai pengerusi BN dan Perdana Menteri untuk turun melawat setiap kawasan sama ada semasa pilihan raya kecil mahupun pilihan raya negeri.

“Sarawak merupakan sebuah negeri yang begitu luas, mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri. Kalau nak melawat semua memerlukan banyak hari kerana jaraknya yang jauh antara satu kawasan dengan kawasan lain.

“Jadi apa yang saya lakukan tidaklah merupakan satu perkara yang luar biasa dan perkara itu biasa saya lakukan,”katanya.

Anwar mendakwa ketika lawatannya ke kawasan Belaga beliau ada melihat keseluruhan “kementerian Shahrizat (iaitu Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat) berkempen.”
Kumpulan itu kata beliau, mendakwa Pakatan Rakyat telah gagal di Pulau Pinang dan Selangor.

“Mereka mendakwa kami telah gagal mentadbir Pulau Pinang dan Selangor dan rakyat di sana menderita... mereka lebih miskin berbanding penduduk Sarawak.

“Jadi, saya berkata kemungkinan kita harus hantar beberapa klip video atau risalah atau keratan akhbar mengenai Selangor dan Pulau Pinang,” katanya lagi.

Sarawak mempunyai 979,796 pengundi dengan Melayu/Melanau terdiri daripada 27.5 peratus, Cina 31.5 peratus, Iban 29 peratus, Bidayuh lapan peratus, Orang Ulus 3.7 peratus dan lain-lain 0.26 peratus.

Ketika Dewan Undangan Negeri dibubarkan bulan lalu, BN memiliki 63 kerusi manakala DAP enam dan PKR dan Parti Cinta Malaysia masing-masing satu.

PKR menurukan 49 calon manakala DAP dan PAS masing-masing bertanding di 15 dan lima kerusi. Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) bertembung dengan PKR di 26 kerusi.

Daripada 71 kerusi, hanya 27 kawasan menyaksikan pertarungan satu lawan satu.
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger