Rabu, 2 Mac 2011

MB Selangor :Untuk kewibawaan perkhidmatan awam

SHAH ALAM 2 MAC : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan teguran beliau terhadap pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Khusrin Munawi dibuat begitu lantang atas keperluan menegakkan kewibawaan perkhidmatan awam negara.

Mengimbau kontroversi pelantikan Khusrin awal tahun ini sehingga Dewan Undangan Selangor terpaksa mengadakan sidang khas, Tan Sri Khalid berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan selaku ketua perkhidmatan awam sepatutnya menunjukkan tahap profesionalisme tinggi dan berkecuali dalam politik kepartian.



"Tetapi adalah sesuatu yang janggal kalau (fikiran) yang tak baik, masuk dalam kepala KSN. Beliau harus berkecuali. Jadi, sepatutnya dia mempersoalkan (kenapa) orang yang menjalankan pengurusan negeri tidak diberikan kesempatan untuk memberikan pandangan beliau mengenai pasukan yang bakal dilantik, " Khalid memberitahu TVSelangor dalam sebuah wawancara eksklusif.

" Jadi, adakah tindakan ini bermaksud perkhidmatan awam kita masih tidak tahu tentang pengurusan? Mereka yang dapat ijazah dari pengurusan sekurang-kurangnya perlu matang dalam pengurusan. Jadi saya akan tunjukkan perkara ini tidak boleh dibiarkan sahaja. Jadi saya membuat beberapa usaha supaya ini diperbetulkan," tegas Tan Sri Khalid tanpa menghurai lanjut.

Khusrin, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor diumumkan oleh Sidek sebagai SUK Selangor yang baru berkuatkuasa Januari lalu tanpa dirujuk kepada kerajaan Selangor.

Khalid dan barisan Exconya yang telah menjalankan proses temuduga untuk mencadangkan calon paling layak kepada Istana Selangor, terkejut apabila Putrajaya mengemukakan nama Khusrin untuk jawatan itu bagi mendapatkan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pelantikan Khusrin mencetuskan polemik baru mengenai pengasingan kuasa dan hak antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang mempunyai kawalan langsung ke atas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Walaupun ketegangan di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri beransur pulih susulan tindakan Khalid untuk membenarkan Khusrin mengangkat sumpah menyimpan rahsia, namun persoalan mengenai tindakan KSN it terus menjadi bahan perbualan.

Tan Sri Khalid berkata tindakan KSN meminggirkan kerajaan negeri bersabit pelantikan SUK semata-mata kerana Selangor di bawah Pakatan Rakyat hanya menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan KSN untuk memantapkan sesebuah kerajaan negeri.

"Janggal jika seorang itu diberi kuasa atau tanggungjawab untuk mengendalikan sesuatu organisasi tetapi dia tidak diberikan kuasa untuk menentukan anggota pasukannya.

"Jadi sebagai CEO atau Ketua Menteri, dia sepatutnya juga diberi kesempatan untuk memilih pasukan beliau bagi mentadbir. Ini kerana kita fikir ia menyenangkan untuk menjadikan sebuah pentadbiran itu lebih berkesan," tegas Khalid.tvs

Related Posts

MB Selangor :Untuk kewibawaan perkhidmatan awam
4/ 5
Oleh