:
Home » » Pemikiran dunia Islam dihantui oleh persoalan Islam dengan Barat

Pemikiran dunia Islam dihantui oleh persoalan Islam dengan Barat

Rabu, 16 Februari 2011 | 0 comments

Selama satu kurun pemikiran dunia Islam dihantui oleh persoalan Islam dengan Barat. Sejak dari abad ke-19 umat Islam ditakluk dan dijajah oleh kuasa-kusa imperialis Barat. Setelah dunia Islam memperolehi kemerdekaan persoalan Islam dengan Barat masih berterusan kerana negara-negara di kedua belah Lautan Atlantik mendominasi dunia dari segi ekonomi, politik dan ketenteraan.

Pemikir-pemikir seperti Taha Husayn dan Sutan Takdir Alisyahbana melihat kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan Barat berpunca dari kebudayaan yang mereka bina dari Renaissance, Enlightenment, rasionalisme dan ilmu-ilmu yang berteraskan sains dan falsafah. Taha Husayn begitu memperkecilkan Asia dan menyatakan Mesir adalah sebahagian dari Barat dan masa depan Mesir adalah bersama dengan Barat. Sutan Takdir Alisyahbana pula melihat alam Melayu-Indonesia berada di zaman jahiliah sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat.



Sekiranya mereka, khususnya Sutan Takdir, hidup hari ini mereka pasti akan menggesa kita membuat persedian ilmu dan strategi untuk melakukan engagement dengan China dan India. Dan umat Melayu-Indonesia berada dalam lokasi yang begitu strategik dan bertanggungjawab untuk merumus strategi seluruh dunia Islam untuk berdepan dengan realiti baru ini.

Islam mencipta tamadun yang gemilang dizaman yang lalu kerana umat di zaman itu bersikap terbuka terhadap semua ilmu dari tamadun-tamadun besar dunia sebelum kedatangan Islam. Seperti yang diulas oleh Professor Seyyed Hossein Nasr dalam Science and Civilization in Islam, Islam mengambil semua ilmu dan disepadukan dengan perspektif Tawhid. Tamadun Islam mulai suram apabila umat Islam tidak lagi meraikan pemikiran. Untuk meminjam ungkapan Alan Bloom, berlaku "the closing of the Muslim mind" melalui penutupan pintu ijtihad.

Usaha pembangunan semula pemikiran Islam di masyarakat Melayu perlu bermula dengan merancakkan wacana ilmu dan pemikiran. Masyarakat dahagakan wacana yang positif untuk memecahkan pemikiran perkauman yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan sosial dan ekonomi umat. Kita harus diingatkan kembali kepada pandangan ahli sejarah terkenal Arnold Toynbee yang menegaskan tamadun manusia digugat oleh faham perkauman dan warna kulit. Dan beliau menegaskan kekuatan Islam adalah kerana ketiadaan aspek perkauman. Sepanjang tamadun Islam jamak budaya dan kepelbagaian adalah satu sifat asasi. Tamadun Islam sentiasa meraikan jamak budaya, kepelbagaian, dan kosmopolitanisme sebagai salah satu fitrah.

Baru baru ini kita menyaksikan bagaimana rakyat Tunisia dan Mesir bangkit menuntut kebebasan dan demokrasi. Pemimpin seperti Zainal Abedine Ali dan Hosni Mubarak memerintah dengan kuku besi berdekad-dekad lamanya. Antara sasaran utama tekanan regim Ben Ali dan Mubarak adalah gerakan Islam. Sejak beberapa dekad yang lalu gerakan Islam khususnya Ikhwanul Muslimin merupakan kumpulan yang paling konsisten menentang regim kuku besi di dunia Arab dan Afrika Utara.

Gerakan Islam adalah bahagian integral dari perjuangan demokrasi. Saya yakin gerakan Islam akan memainkan peranan penting dalam transisi dunia Arab menuju demokrasi serta mencetuskan gelombang baru pendemokrasian di benua Asia.

Baca berita penuh
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger