Khamis, 6 Januari 2011

Perbicaraan rasuah Khir Toyo


SHAH ALAM 6 Jan - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan perbicaraan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo pada 6 sehingga 24 Jun depan.

Sebelum itu, kes rasuah terhadap Khir dihadapkan di Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan.

Timbalan Pendakwaraya Dzulkifli Ahmad kemudiannya meminta kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Khir turut meminta pertuduhan dibacakan semula di depan beliau.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki kemudiannya membenarkan permohonan tersebut.

Mohtaruddin dalam pada itu melanjutkan jaminan dan mengekalkan jumlah ikat jamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Beliau turut mengarahkan supaya pengarah syarikat Ditamas Sdn Bhd Datuk Shamsuddin Hayroni yang didakwa atas bersubahat atas tuduhan itu dibicara bersama.Mereka diwakili peguam, M Altimulan, Datuk Jaharberdeen dan Adzly Abdul Manaf.

Pada 6 Disember lalu, Khir yang juga bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta hanya dengan harga RM3.5 juta daripada sebuah syarikat, tiga tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni, 52.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Shamsuddin turut didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan terhadap Shamsuddin yang juga mengaku tidak bersalah, dibuat mengikut Seksyen 109 dan dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.sk

Related Posts

Perbicaraan rasuah Khir Toyo
4/ 5
Oleh