:
Home » » Pemberian subsidi kepada rakyat harus dikekalkan

Pemberian subsidi kepada rakyat harus dikekalkan

Selasa, 25 Januari 2011 | 0 comments




SHAH ALAM 25 JAN: Pakatan Rakyat (PR) berkata pemberian subsidi kepada rakyat harus dikekalkan terutamanya membabitkan empat sektor iaitu beras, pertoleum, kesihatan dan pendidikan.

Dalam satu majlis 'Luncheon Talk Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim' di Kelab Shah Alam, Shah Alam pagi tadi, Penasihat Ekonomi Kerajaan PR Selangor, itu berkata pemotongan subsidi dalam sektor-sektor berikut akan menghimpit kehidupan seharian majoriti rakyat negara ini.

"Kerana bagi rakyat, mengapa harus kami dibebankan bila ekonomi meleset? Mengapa tidak pimpinan? Siapakah yang melakukan curang, rompak harta negara, rasuah, mengadakan dan memperkenalkan kebijakan ekonomi yang songsang? Mengapa mereka tidak didenda dan dihukum? Jadi sebab itu, penyelesaiannya selalu dibebankan kepada orang bawah," jelas beliau.

Beliau yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelaskan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) mengurangkan subsidi atas nama rasionalisasi kurang tepat kerana tindakan tersebut hanya menguntungkan golongan kaya sahaja, dengan memberikan contoh di mana walaupun subsidi LPG, petrol dan diesel telah dikurangkan dengan drastik tetapi subsidi kepada pengeluar tenaga swasta (IPP) masih berada pada RM19 bilion.

Katanya lagi, kerajaan memberikan subsidi kepada semua golongan samada yang kaya dan miskin tetapi dengan menggunakan istilah berbeza di mana bagi syarikat swasta, bantuan sebegini dipanggil insentif manakala bagi golongan miskin seperti petani dan nelayan pula, ia dipanggil subsidi.

"Tetapi yang aneh, mengapa bila kita mengalami defisit tumpuan kita, seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Idris Jala, ialah mengurangkan subsidi, dia tak sebut mengurang, rasionalisasi. Maknanya potong subsidi," kata beliau.

Anwar yang pernah memegang jawatan Menteri Kewangan selama lapan tahun semasa berada di Kabinet dahulu menyatakan walaupun saranan Bank Dunia dan IMF (International Monetary Fund) adalah untuk menghapuskan subsidi sekaligus tetapi penghapusan subsidi tidak sesuai untuk corak ekonomi negara.

Kata beliau, saranan tersebut adalah dengan andaian ekonomi berpasaran sempurna tetapi pada realitinya ekonomi negara merupakan ekonomi pasaran tidak sempurna.

Konsep pasaran sempurna menyatakan subsidi boleh mengurangkan kebajikan sosial dan perlu dihapuskan bagi meningkatkan permintaan dan bekalan pasaran tetapi dalam konteks sebenar, pasaran tidak sempurna tidak menjamin kebajikan sosial terpelihara sekiranya mana-man unsur yang menyebabkan ketidaksempurnaan ini dikeluarkan, dalam hal ini merujuk kepada subsidi.

Ini diterangkan oleh beliau dengan memberikan contoh pasaran elektrik yang mana hanya membebankan rakyat sekiranya subsidi dikurangkan, tetapi IPP tetap akan terus mendapat subsidi yang diperuntukkan untuk mereka.

"Kenaikan kos, purata sekarang dianggap RM100 setahun kerana kos peningkatan harga gula, minyak dan sebagainya. RM100 bagi orang kaya tidak sangat menekan tetapi RM100 bagi orang yang berpendapatan RM1,500, kenaikan RM100 tanpa kenaikan gaji itu cukup membebankan," tegas beliau.

Beliau seterusnya menyatakan, menurut CIMB Research, beban kewangan golongan berpendapatan purata RM1,500 dengan mengambil kira bayaran ansuran kereta, pinjaman rumah dan sebagainya mencecah 80 peratus daripada pendapatan mereka.

Kata beliau, sekiranya tatakelola sesebuah negara itu baik, beliau percaya dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.tvs
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger