Ahad, 14 November 2010

PAS perlu ubah pendekatan


PAS 'baru' dengan pembaharuan dari segi pendekatan tanpa mengubah dasar, amat diperlukan untuk menggantikan Umno dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU), kata penganalisis politik, Ghazali Mayudin.

Bercakap dalam forum "PAS Sedia Ganti Umno: Harapan dan Cabaran" di Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) petang semalam, beliau berkata, senario politik hari ini, hanya PAS baru boleh menggantikan Umno.

"PAS tidak boleh ganti Umno dalam kerangka yang lama.Berdasarkan senario politik semasa, PAS baru dengan pendekatan yang baru, kaedah yang baru mungkin boleh. Tapi PAS yang sedia ada agar sukar untuk menggantikan Umno," katanya.

Beliau juga berkata, PAS harus bersedia berubah mengikut kehendak masyarakat tanpa perlu mengubah dasar Islam yang diperjuangkan.

Perubahan tersebut juga perlu menyeluruh, bukan bersifat cebisan sahaja.

"PAS mesti berubah mengikut perubahan-perubahan dan kehendak-kehendak dalam masyarakat supaya diterima umum. Bila kita katakan PAS ganti Umno bermakna kita nak masyarakat Melayu menerima PAS untuk menggantikan Umno.

"Perubahan keadaan bukan bersifat cebisan tapi menyeluruh. Dari segi keahlian juga harus berubah. Bukan sahaja ahli PAS setakat dengar ceramah tetapi haruslah bergerak ke lapangan masyarakat, baru boleh berlaku satu transformasi.

Tambahnya, bagi memastikan PAS diminati, bukan dibenci, parti itu harus tahu menggunakan isu yang relevan mengikut perkembangan dalam masyarakat

"Perubahan yang harus dilakukan ialah dari segi cara kepimpinan, cara memerintah negeri, dan dasar-dasar yang ditekankan.

"Sekarang ini orang menekankan hak asasi, kebebasan, ketelusan dan sebagainya. Jadi agak asing kalau PAS masih memperjuangkan isu-isu yang mengguris dan menyebabkan orang lari daripada PAS," katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Prof Madya Dr Shaharudin Badarudin dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wadah, PAS sudah mengalami proses perubahan yang besar sejak lima tahun kebelakangan ini.

"Dalam empat, lima tahun ini PAS berubah begitu besar. PAS sudah mengalami perubahan itu terutamanya sejak tahun 2001, banyak pembaharuan yang dikemukakan.

"Contohnya isu muslimat boleh bertanding. Walaupun pada mulanya memang dibenarkan dan kemudiannya tidak dibenarkan, ia dibenarkan kembali pada 2003. Begitu juga dengan penubuhan kelab dan seterusnya Dewan Himpunan Penyokong PAS, tahaluf siasi iaitu pakatan dengan DAP dan NGO sudah mencirikan PAS baru.

Menurutnya juga, PAS telah menunjukkan kelebihan apabila boleh bergerak kerja tanpa mendominasi Pakatan Rakyat, seperti Umno mendominasi barisan Nasional.

"Kelebihan PAS ialah PAS boleh bekerja dalam keadaan tidak mendominasi parti. Dalam tidak dominan itu PAS mampu melakukan perundingan dan sebagainya dengan DAP dan PKR, apatah lagi jika PAS mendominasi Pakatan, sudah tentu banyak kejayaan yang boleh dicapai," katanya.

Forum dua jam itu dipengerusikan oleh ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat dalam seminar "PAS ganti Umno" anjuran lajnah penerangan dan dakwah PAS Pusat.HD

Related Posts

PAS perlu ubah pendekatan
4/ 5
Oleh