Ahad, 22 Ogos 2010

Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) kos pembangunan sebanyak RM5 bilion

IPOH 22 Ogos — Sebanyak 92 peratus daripada pembiayaan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) akan diperoleh melalui pelaburan swasta termasuk dari syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, perolehan berkenaan konsisten dengan strategi menjadikan sektor swasta pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

"Kita telah memasukkan perbelanjaan operasi sebanyak RM500 juta dan kos pembangunan sebanyak RM5 bilion dalam bajet NKEA...menjadikan keseluruhan kos sebanyak RM5.5 bilion pada tahun depan.

"Dan dari jumlah itu, sebanyak lapan peratus dari bajet ini akan disumbangkan kerajaan manakala selebihnya akan diperoleh melalui penyertaan swasta termasuk GLC,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Baju Korporat Ketua-Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parlimen Tambun.

Ahmad Husni yang juga Anggota Parlimen Tambun berkata, makmal NKEA kini dalam proses akhir bertemu dengan peneraju pelbagai bidang yang terlibat bagi mendapatkan maklum balas dan pelbagai maklumat.
"Kita sedang menyediakan laporan terperinci hala tuju beberapa sektor yang menjadi kunci pertumbuhan ekonomi negara sebagai persediaan terakhir pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE),” katanya.

Ahmad Husni berkata, laporan yang mensasarkan hala tuju bidang ekonomi negara hingga 2020 itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kesemua 12 NKEA yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) ialah minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik, pemborongan dan peruncitan, pendidikan, penjagaan kesihatan, komunikasi, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.

Daripada 12 NKEA itu, 11 daripadanya adalah sektor industri dan satu – Greater Kuala Lumpur – ialah kawasan geografi. — Bernama

Related Posts

Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) kos pembangunan sebanyak RM5 bilion
4/ 5
Oleh